Daisypath Friendship tickers

Friday, February 11, 2011

"Akak.. Bagaimana Cinta Dan Kahwin Kerana Allah?"

"Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?"  Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari tidak lama lagi, di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak... 

isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah konsep ideal,  indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian.  Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.

Rumahtangga, rumah dan bilik air
Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun  rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat  istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.  
Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

Antara membina rumah dan membina bina bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.

Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.

Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

Misi dan Visi Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.

Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.

Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang  dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik,  kotor dan hina.

Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya
Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.

Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.

Pencemaran dalam niat
Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.

Rumahtangga begini  tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan.  Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik.  Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.

Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah
Ekpresi cinta dan  kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu
"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.

Peluang  taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.

Destinasi akhir ekspresi cinta
Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.

Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.

sumber - http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1582-cinta-dan-kahwin-kerana-allah.html

Tips Nikah Kahwin...


Tips yang menarik untuk dikongsi bagi mereka yang sedang mempunyai niat untuk berkahwin dalam masa terdekat dan bagi mereka yang telah berkahwin :

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

Jauhkan Rindu...

Bila rindu kembali menjengah,
Menyusup datang melalui sekeping gambar,
Begitu terasa bibirku bergetar,
Begitu terasa kakiku makin longlai.

Ku lihat pada jari-jemariku,
Menggigil dalam bahang tengah hari,
Ku sentuh pada bibirku,
kering mengelupas,

Ku letakkan tangan pada dadaku,
Degupannya menjadi deras.
Ku lihat wajahku dalam refleksi,
Warnanya pucat membiru,

Tiada kilauan dalam mata,
Tiada cahaya pada wajah.
Hanya kelesuan jelas kelihatan.

Yang lain menggelar rasa ini 'cinta',
Lalu mereka hairan aku menolak 'cinta',
Tapi aku pasti ianya adalah 'petaka' ,
kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,

Rindu ini rindu yang mencemarkan,
Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,
Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.

Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.

Kini,
Jika  rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.

Aku tak mahukan rasa ini,
Aku tak mahukan rindu ini.

Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku  dari melihat jalan-Mu,
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.

Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.

Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,
kerna aku takut pada bayangannya,
Kerna ku tahu jatuh cinta itu,
Hanya bisa pada Tuhan,

Kerna ku tahu nafsu ini,
Sering membawa ke arah kejahatan,
Yang datang dari godaan syaitan.

Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari 'petaka' rindu ini,
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,
Cinta yang kekal dan abadi.

sumber - http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1474-jauhkan-rindu.html

BINGKISAN ADAM DAN HAWA...

Bingkisan dari hawa untuk adam,


Adam ku…
Kau sebenarnya Iman dan aku adalah Makmum.Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah Ketua . Jika kau lalai, maka lalailah aku.Wahai Adam,kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu . Akalmu sembilan , nafsumu satu. Akal ku satu , nafsu ku beribu .Oleh itu pimpinlah tangan ku, kerana aku sering lalai dan leka serta sering tergelincir di tolak nafsu
dan konco-konconya.

Adam ku…
Aku suka kalau kau mengimami solatku pada setiap waktu.Akan aku aminkan doa mu agar kelak luas syurga kita.Lebih suka kalau engkau bangunkan aku bertahajud bersamamu,agar nanti kita dirahmati.. Ya Rabbi…Kenalkan aku pada Majlis agama .Ajarilah aku Yassin dan ajaklah aku mengalunkan jantung kitabbullah di malam Jumaat yang penuh Barakah.Khabarkanlah padaku tentang fardhu – fardhu yang patut aku tahu.Bimbinglah aku dengan amar maaruf dan nahi mungkar.

Adamku…
Ajari aku agar menjadi isteri mu yang solehah.Didiklah aku supaya menjadi permata di lembah kaca.Selimutkan aku dengan iman dan taqwa sebagai bekal ke jalan Allah.Ingatkan aku supaya hormat ,tunduk dan patuh pada mu setiap waktu.Tolonglah aku Adam, agar aku tidak beku.Bantulah aku daripada seksa api neraka yang tidak tegar ku tanggung.Pimpinlah aku menuju Nur Jannah.Tarbiahkan aku supaya kelak aku calon srikandi solehah.Bantulah aku dalam menyemai sifat mahmudah.Moga aku dapat menjadi secerdik Aisyah Humairah Rasullullah ,setulus hati dan kasih laksana Siti Khadijah, sezuhud dan sepatuh Rabiatul Adawiyah ,sekuat iman umpama taatnya Sumayyah ,seikhlas dan semurni Halimatus Saadiah dan segagah dan seteguh Nailah Al Farashiyah yang tegar meski tangan bermandi darah membela Khalifah Allah . Seindah hiasan adalah wanita solehah ,moga aku hiasan terindah dalam hidupmu Adamku..

 Bingkisan tulus dari Adam untuk Hawa.

Hawaku..
Meski aku Adam , gagah pada luaran,ada kalanya aku juga dalam godaan.Walau aku peminpin Khalifah bagimu ,aku juga selalu tersungkur kalah akibat nafsu.Nafsu ku satu ,akal ku sembilan ,namun yang satu itu sering menjadikan aku di luar kawalan ,kadangkala aku juga tewas dalam lautan duniawi ,lemas dalam dunia sendiri.Andai aku leka dan alpa , ingatkan aku untuk kembali padaNya kerana sesungguhnya di balik seorang lelaki,berdirinya seorang perempuan.

Hawaku…
Walaupun aku durjana duniawi , aku juga impikan wanita solehah sebagai suri.Justeru ,ingatkan aku tingkatkan ibadah ,kelak aku bisa menjadi suami soleh.Ingatkan aku supaya selalu mengalunkan Kalammullah ,agar dapat aku memandu mu ke Syurga Al –Jannah. Sedarkanlah aku agar mengejar keredhaan Ar-Rahman ,agar hidup ku sentiasa aman.
Bangunkan aku bertahajud bersamamu,kelak rahmat – nya tiada tandingan untuk ku . Aminkan doa bacaan ku ,moga nanti luas syurgamu.Taat dan patuhlahilah aku,kelak solehah menjadi milik mu…

Hawaku…
Aku suka kau menutup aurat daripada pandangan buas durjana.Aku suka jika kau tidak sesuka hati menabur cinta duniawi sebaliknya kau titipkan buat zauj mu kelak.Aku suka jika bidadari ku sentiasa mengejar kebahagian ukrawi.Aku suka kalau kau bersifat keibuan supaya kelak zuriat ku penuh dengan kesantunan mu.Aku lebih suka kata-kata mu berhemah kerana ia menunjukkan kau wanita berhemah.Aku suka jika kau pandai berdikari ,agar kelak kau mampu berdiri sendiri.lagi indah jika kau berperibadi mulia ,kerana itu sebaik-baik hiasan dunia.Aku suka kalau kau pandai menjaga maruah diri agar harga diri mu tidak terlalu murah.Lebih elok jika kau mampu berfalsafah ,kerana itu simbol mar’fatonah . Peliharalah agama seperti mana aurat mu,terjaga rapi ,siramlah hatimu dengan taqwa ,sebagai bekalan mengadap Yang Esa .Hiasi peribadi dengan sifat mahmudah.Agar kelak tidak dipandang lemah.Meski kau dicipta dari tulang rusuk ku yang bengkok ,namun ada ketika tangan  yang disangka  lembut mengayun buaian mampu mengoncang dunia mencipta sejarah.
Oleh itu.Ingatlah aku Adam mu yang sering leka dan alpa , kelak Hawamu bakal menghuni Al-Firdausi .

Moga impian kalian semua untuk mencari cinta yang diredhai akan termakbul.Mudah-mudahan, coretan ini serba sedikit mengajar kita bermuhasabah diri dalam merebut sekeping hati seorang insan yang kita cintai.InsyaAllah sinaran cinta Ilahi yang dicari akan ditemui.Sematkan pesanan ini dalam hati, agar kita saling ingat-mengingati ,kebahagian hakiki dapat diraih =)

sumber dipetik dan diubahsuai dari majalah muslimah =)

Monday, February 7, 2011

Cintai Dia Dalam Diam, Dari Kejauhan Dengan Kesederhanaan Dan Keikhlasan..

Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba.. mungkinkah dengan redhaNYA atau hanya mengundang murkaNYA..

Jika benar cinta itu kerana ALLAH maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran ALLAH kerana hakikatnya ia berhulu dari ALLAH maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH..

" Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran ALLAH." (QS. Adz Dzariyat: 49)
" Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin ALLAH akan memampukan mereka dengan kurniaNYA." (QS. An Nuur: 32 )
" Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNYA ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNYA diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." ( QS. Ar Ruum: 21 )

Tetapi jika kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah.. berdoalah.. berpuasalah..

" Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah.. berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya." ( Hadis )
" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. ( QS. Al Israa': 32 )
Cukup cintai dia dalam diam..,
Bukan kerana membenci hadirnya.. tetapi menjaga kesucinnya bukan kerana menghindari dunia.. tetapi meraih syurgaNYA bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

Cukup cintai dia dari kejauhan..,
Kerana hadirmu tiada kan mampu menjauhkannya dari ujian.. kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan.. kerana mungkin sajakan membawa kelalaian hati-hati yang terjaga..

Cukup cintai dia dengan kesederhanaan..,
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan.. menumbuhkan harapan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan..

Maka cintailah dia dengan keikhlasan..,
Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali Bin Abi Talib diingini oleh hati.. tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi..??


".. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." ( QS. Al Baqarah: 216 )

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." (QS. An Nuur: 26 )

Cukup cintai dia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhaan dan keikhlasan..

Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan.. mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan..

Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan.. serahkan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya.. biarkan DIA yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya..

" Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga ." (Umar Bin Khattab ra)

~ Pilihan ALLAH itu yang TERBAIk ~

source - http://www.facebook.com/photo.php?fbid=188624094493052&set=a.188623621159766.41137.100000363882626#!/note.php?note_id=163228937060247&id=100000538094606

Sunday, February 6, 2011

10 Sifat Calon Suami Yang Baik...

 

                                                               Bismillahirrahmanirrahim.....
Kadang-kadang kita tersilap. Kita menilai seorang lelaki yang baik berdasarkan kerjayanya. Hakikatnya lelaki yang baik itu sebenarnya terletak pada agamanya. Ramai yang mengetahui perkara ini tetapi beranggapan lelaki beragama itu mestilah seorang ustaz, imam masjid, pelajar agama dan seumpamanya. Sebenarnya perkara ini juga tidak benar.  Ramai dikalangan ahli agama yang sering memukul isteri, bersifat kasar, tidak pandai melayan isteri dan sebagainya.  Jadi ini juga bukanlah ciri-ciri seorang lelaki yang baik sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah. Lelaki yang baik dan beragama itu mempunyai sifatnya yang tersendiri. Di bawah disenaraikan 10 sikap lelaki yang baik.
Jika anda seorang wanita, carilah lelaki yang mempunyai sifat-sifat ini. Jika anda seorang lelaki, jadilah seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat ini.
1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.
2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.
3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.
4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.
6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.
7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.
8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.
9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.
10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.
Semoga 10 sikap ini dapat diamalkan oleh kita semua wahai lelaki yang mencari redha Allah. Buat wanita solehah yang mencari pasangan yang soleh, cubalah anda perhatikan 10 sifat yang dinyatakan di atas pada setiap lelaki yang anda kenal. Jika ada sikap-sikap ini pada mereka. Cubalah untuk menjadi buat hati mereka. Walau bagaimanapun, tidak semestinya mahu ada kesemua sikap di atas, jika terdapat 5-6 sikap itu juga sudah memadai. Manusia boleh berubah. InsyaAllah sifat-sifat baik yang lain akan menyusul dengan usaha dan kesabaran untuk mencapainya.
Wassalam…

source - http://wanwma.com/agama/10-sifat-calon-suami-yang-baik/

Mencari Jodoh. Sejauh Mana Kita Perlu Memikat Hati Si Dia?...

Bismillahirrahmanirrahim.....
Bagi sesetengah orang, mencari jodoh bukanlah sesuatu perkara yang sukar. Hidupnya mudah, meskipun tidak pernah bercinta atau bercouple (bercouple adalah haram) dengan sesiapa, bila tiba masa untuk dirinya berumah tangga, dia terus mendapat pasangan yang ideal dan terus melangsungkan perkahwinan. Ada orang pula pernah bercouple dengan beberapa orang sebelum bertemu dengan cinta sejati mereka sehingga akhirnya berjaya ke jinjang pelamin.

Perjalanan, pertemuan dan masa untuk seseorang bertemu jodoh masing-masing adalah berbeza. Ada orang yang terpaksa dikecewakan beberapa kali sebelum bertemu dengan buah hati yang setia. Ada orang lain pula meskipun telah bertemu jodoh, namun selepas berkahwin 1 hari, pasangannya telah meninggal dunia menyahut panggilan ilahi. Apa jua keadaan yang sedang kita hadapi,  alami atau bakal lalui, teguhkan hati dengan menanam redha di dalam diri.

Seseorang yang mencari jodoh tentu berusaha untuk memikat hati si dia yang mungkin telah bertahta dihatinya. Namun sejauh manakah kita perlu berusaha memikat hatinya? Betulkah dengan cara memujuk, berbuat baik, menggunakan kata-kata romantik dan seumpamanya?

Cara-cara memikat si dia menurut Sunnah:
1. Menyatakan hasrat melalui keluarga wanita, misalnya ayah si gadis itu.
Contoh: Nabi saw menyatakan hasrat hatinya kepada Aisyah melalui Abu Bakar dan Hafshah melalui ayahnya Umar al-Khattab (bukhari dan Muslim)
Fiqh: Apabila kita sudah ada hubungan yang kuat dengan ayahnya dan ayah si gadis telah mengenali kita, maka mudahlah kita menyalurkan hasrat hati kepada ayahnya.
2. Boleh secara langsung menyatakan hasrat hati kepada gadis juga boleh melalui perantara. Misalnya Nabi saw meminang Ummu Salamah secara terus melalui wakilnya Hathib bin Abi Balta’ah (muslim 1525). Imam Nasa’iy melapurkan Abu Talhah melamar Ummu Sulaim secara langsung tanpa perantaraan. Ini cara gentleman, terus menyatakan hasrat suci kepada gadis itu. (sahih anNasa’iy 3133)
3. Memikat wanita melalui pengaruh tokoh masyarakat. Imam Bukhari-Muslim melapurkan dari Sahl bin Sa’ad, bahawa ada sahabat yang menggunakan kedudukan Rasulullah s.a.w untuk masuk memikat hati perempuan (Bukhari 4642). Lalu Rasulullah mengirim arahan bahawa lelaki itu mendapat restu baginda untuk meminang wanita tersebut.
4. Menggunakan bahasa sindiran kepada gadis idaman.
Dalilnya: AQ 2:235 (dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita2 itu dengan sindiran). Kaum salaf menggunakan pelbagai teknik samada dari segi lisan dan perbuatan untuk menyatakan hajatnya kepada wanita idaman. Ada yang mengirim salam dan ada yang mengutus hadiah dan ada yang menyindir dengan kata-kata simbolik (ahkamul Qur:an oleh Ibnul Arabi (1/212-213)
Begitulah antara cara memikat si gadis menurut As-Sunnah.


Menawarkan diri kepada lelaki yang soleh.
Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda Rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata: “Wahai Rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku?” Lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : “Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan.” (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Cara-cara memikat si dia mengikut sunnah di atas diperolehi dari al-ahkam.net.

Tidak Perlu Melampau
Beginilah cara yang baik untuk memikat si dia mengikut sunnah. Tidak perlu ajak si dia keluar. Tidak perlu berusaha sedaya upaya mengambil hatinya dengan berlakon baik dan mengubah diri untuknya. Jika mahu berubah, biarlah kerana Allah.
Perbuatan kita yang terlalu kuat berusaha memikat hatinya hanya akan mendorong kita melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Kita mungkin akan berubah menjadi baik seketika untuk dirinya, namun selepas memiliki dirinya kita akan kembali kepada perangai asal. Pernahkah anda dengar ramai pasangan yang mengadu menghadapi masalah dalam perkahwinan kerana masing-masing mula mengubah sikap. Sebelum kahwin bukan main baik dan mesra, tetapi selepas kahwin perkara kecil pun boleh mencetuskan pergaduhan.
Usaha kita yang melampau untuk memikat hatinya juga akan menyebabkan dirinya menerima kita atas dasar kasihan, bukannya cinta yang sebenar. Mampukah faktor kasihan seperti ini memberikan kebahagiaan berpanjangan? Cinta dan kasih sayang yang paling baik adalah cinta dan kasih sayang kerana Allah.
Jika mahu memikat hatinya, jadilah seorang insan yang mengasihi Allah dan menjalankan tanggungjawab sebagai manusia dengan sempurna. Jika perkara ini belum cukup untuk memikat hati si dia, ketahuilah bahawa dia bukanlah orang yang sesuai untuk kita. Tiada cara memikat yang lebih baik dari cara yang diajarkan dalam Islam.

Perlukah Romantik?
Kadang-kadang ramai yang beranggapan kita perlu menjadi romantik dan becinta seperti pasangan suami isteri meskipun sebelum berkahwin. Barulah dapat mengenali hati budi masing-masing. Hakikatnya semua ini hanyalah tipu semata-mata. Ini ialah tipu daya syaitan! Orang yang bercinta sering berubah sikap seolah-olah sangat baik. Sikap yang digambarkan pada pasangan kekasihnya itu bukanlah sikap sebenarnya. Mereka ini akan berubah selepas berkahwin.
Selain itu pasangan yang bercinta juga sering mengalami kekecewaan kerana tidak dapat bersama. Samada mereka putus cinta, halangan keluarga, halangan kewangan dan sebagainya. Berbagai perkara boleh berlaku. Akibatnya ramai yang kecewa dan mengambil jalan mudah untuk membunuh diri. Hilang keyakinan pada diri sendiri. Benci membenci antara satu sama lain. Bermusuhan dan tidak kurang juga yang menggunakan ilmu hitam untuk memusnahkan hidup bekas kekasihnya.
Inilah antara perkara yang banyak berlaku kepada masyarakat kita hari ini. Jika mereka bahagia dan mesra bersama, mereka akan terlanjur melakukan zina pula. Sebelum mengatakan apa yang saya nyatakan ini tidak benar, cubalah sendiri membuat kajian berapakah jumlah bayi yang baru dilahirkan dibuang dan dibunuh hidup-hidup setiap tahun. Itu baru jumlah pembuangan bayi, berapa pula jumlah sepasang kekasih yang berzina?
Semua ini berlaku kerana sikap manusia yang kononnya mencari jodoh dan memikat pasangan mereka dengan cinta yang tidak berlandaskan syariat Islam. Semoga kita semua dijauhkan dari semua perkara yang dimurkai Allah ini. Sebagai manusia biasa, kita juga ingin hidup berpasangan, mencari jodoh dan memikat hatinya untuk membina sebuah institusi keluarga bahagia. Namun perjalanan untuk meraih kebahagian itu tidaklah mudah seperti yang digambarkan. Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa semoga niat murni kita semua dilindungi-Nya dan dipermudahkan segala urusan. InsyaAllah…

Wallahualam.....

source - http://wanwma.com/agama/mencari-jodoh-sejauh-mana-kita-perlu-memikat-hati-si-dia/

Saya Sudah Jatuh Cinta. Apa Itu Cinta?...



Bismillahirrahmanirrahim.....
Mana mungkin manusia biasa seperti saya terlepas dari cinta. Cinta adalah fitrah buat manusia. Cinta juga adalah satu anugerah yang amat bernilai dari Allah yang maha esa kepada hambanya. Kerana cinta itu begitu indah dan ia sukar dilafazkan dengan kata-kata, ramai yang cuba membuat kesimpulan apakah makna sebenar cinta.

Saya kurang faham makna sebenar cinta, saya kurang jelas mengenainya. Namun saya cuba mencari jawapan, saya cuba membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya cinta itu memiliki sifat-sifatnya yang tersendiri. Cinta tidak semestinya hanya kepada seorang insan bernama kekasih. Tetapi cinta itu merangkumi seluruh kehidupan. Dan dari pengamatan saya, cinta itu sebenarnya adalah..

Amanah Dari Allah

Ya, cinta itu adalah amanah! Bukan nafsu, bukan kehendak dan bukan juga hak yang perlu dituntut. Apabila jatuh cinta kepada seseorang, kita rasa seolah-olah kita memerlukannya. Kita mahu memilikinya, kita mahu dia mendampingi kita dan kita mahu cinta yang kita harapkan itu terbalas. Tidak salah mahu mendampingi orang yang disayangi, tidak salah mahu memiliki hati dan kasih sayang mereka. Namun bukan itu yang lebih utama, kerana orang yang kita cinta belum tentu mencintai kita, orang yang kita suka belum tentu menyukai kita. Jadi dengan rasa cinta yang diamanahkan oleh Allah kepada kita ini, kita hulurkanlah apa saja yang terbaik buat mereka. Jika dapat memikat hatinya, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, usahlah mengungkit dan berdendam.

Cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab! Apabila disebutkan sebagai tanggungjawab, ia bermakna kita perlu memberi, namun tidak semestinya menerima. Lindungi mereka, sayangi mereka, kasihi dan berikan yang terbaik kepada mereka,  sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan melainkan redha dari pemberi amanah (Allah) semata-mata.

Keikhlasan Yang Menipu
Ada pepatah menyatakan “Cinta itu adalah dua jiwa menjadi satu!”. Lalu sesetengah orang yang cintanya tidak terbalas mula mempersoalkan qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya seperti:
Kenapa cinta aku tidak terbalas?
Apa salah aku?
Apa kekurangan aku?
Kenapa dia tidak menerima cinta aku?
Aku sangat ikhlas mencintainya, kenapa dia buat aku begini?
Ramai orang yang bercinta sentiasa mengaku bahawa dirinya ikhlas mencintai seseorang. Namun pada hakikatnya mereka sedang menipu diri sendiri! Apakah sebenarnya maksud ikhlas? Jika sekadar rasa cinta yang jujur kepada seseorang, itu bukan ikhlas.

Ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah, tanpa mengharapkan balasan daripada manusia. Tidak nampak keikhlasan seseorang sehinggalah dia disakiti dan apabila dia tidak dapat apa yang diinginkannya.  Mereka berkata bahawa mereka ikhlas dalam bercinta, tetapi apabila ditinggalkan mereka mula mengungkit, mula bercerita satu dunia bahawa keihklasan mereka dikhianati.
Aku ikhlas mencintaimu, namun apakah yang telah kau lakukan kepadaku?
Ayat-ayat seperti ini mula diukirkan dalam hati mereka. Disebut-sebut dan diulang-ulang supaya ramai orang bersimpati dengan mereka. Supaya ramai orang merasakan dirinya benar dan orang yang menolak cintanya itu telah melampau.

Cinta itu adalah amanah. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa yang ditentukan oleh Allah yang esa! Tidak kira samada baik ataupun buruk. Tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata.

Kaitan Cinta Dengan Amanah
Mari kita susuli kenapa cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu sebenar-sebenarnya adalah amanah:
  1. Kita diwajibkan atau diamanahkan mencintai Allah melebihi segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah/cinta pertama yang perlu kita lakukan.
  2. Mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa juga adalah amanah dari Allah. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa berdoa dan menghormati mereka.
  3. Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya, khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi menunju cinta Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Inilah cinta, inilah amanah!
  4. Apabila mencintai wanita/lelaki yang belum halal, kita tidak boleh keluar berdua-duaan dengannya, tidak boleh bermanja-manja, berkasihan seperti pasangan yang telah berkahwin, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh melihat aurat masing-masing. Pergilah melamar dan satukan dengan ikatan perkahwinan, jika tidak dapat bersama, redhalah dengan ketentuan-Nya. Kita telah melakukan tanggungjawab kita, selebihnya bergantung kepada qada dan qadar dari Allah. Ini adalah amanah, ini adalah cinta yang benar!
  5. Mencintai alam semesta. Allah berfirman di dalam Al-Quran “Manusia akan menghancurkan dunia ini dengan tangan-tangan mereka sendiri.” Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit demi sedikit.
Mungkin terdapat banyak lagi contoh yang boleh dinyatakan. Namun saya rasa cukuplah sekadar itu sahaja untuk kali ini. Mari sama-sama kita menghayati makna sebenar cinta. Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara. InsyaAllah..
Wallahualam.....

source -  http://wanwma.com/agama/saya-sudah-jatuh-cinta-apa-itu-cinta/

Tiada Jodoh Bukan Kehendak Kita....

Bacalah nasihat Mok Wan ni. Renungkanlah Sedalam-dalamnya. Tiada jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa² kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa² lewat solat. Allah mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat.
Biar lambat jodoh asalkan mendapat ‘Right Person’ dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki/perempuan yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar² mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah² bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia menjadi sebaliknya bila ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar suami atau isteri tidak usah berkahwin dulu.
Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.
Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak², carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia²nya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.
Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong²nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. “
Seorang teman pernah berpesan..
“Kadang² Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa²nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..” ”
“Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali.
Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.
Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada..
Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada…”
Semoga mendapat jodoh yang diidamkan dan dirahmati Allah, amin…
Wallahualam.....

chatro0m...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com