Daisypath Friendship tickers

Sunday, December 26, 2010

Nikah Tutup Aurat, Sanding Buka Aurat.....


Setiap kali majlis nikah, ia biasanya dilangsungkan di masjid mahupun di surau. Jadi, di situ biasanya ahli keluarga terdekat dan rakan taulan hadir untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah yang menyatukan dua hati.

Biasalah, jika dilakukan di masjid, semua yang hadir perlu mematuhi adab memasuki masjid. Sudah pasti, antara lain yang dipatuhi ialah adab menutup aurat dengan sempurna.
Jadi, di situ dapat kita lihat ramai yang hadir cantik menutup aurat khususnya yang perempuan, termasuklah perempuan yang akan dinikahkan.

Alangkah indahnya majlis penyatuan hati disertai oleh orang-orang yang patuh pada tuntutan agama. Aurat dijaga, kelakuan diperhati. Si pengantin perempuan elok menutup aurat, duduk tertunduk mengenang hari-hari yang bakal dilalui sebagai isteri sejurus lafaz nikah oleh bakal suaminya disahkan.

Namun yang sedihnya, ia hanya setakat majlis nikah itu.
Apabila tiba majlis persandingan, tudung hilang entah ke mana, aurat terdedah di sini sana.
Tiada lagi kesucian majlis sepertimana yang ada pada majlis nikah sebelumnya. Itu belum lagi dibincangkan hal tingkah laku yang ada kalanya hilang kawalan. Dalam sedar mahupun tidak, banyak mata yang memerhati.
Malangnya, bukannya semua yang hadir ke majlis persandingan adalah mahram kepada pengantin. Sudah tentu hadirin terdiri daripada orang-orang yang bukan mahram juga, yang tidak halal mata mereka menjamah aurat pengantin, khususnya yang perempuan.

Jika dalam majlis nikah, segala tuntutan agama boleh dipenuhi, mengapa tidak meneruskannya dalam majlis persandingan pula?
Apakah ada beza amalan agamamu ketika majlis nikah dan ketika majlis persandingan? Apabila ada beza auratmu kepada yang bukan mahram ketika di masjid dan ketika di luar masjid? Mengapa ada kesedaran bahawa agamamu ialah Islam ketika dinikahkan, tetapi tidak ketika berada di persandingan?
Pelik. Tetapi itulah realitinya yang kerap berlaku sekarang.
Buat bakal pengantin, sedarlah bahawa Islam mewajibkan umatnya menutup aurat kepada orang yang bukan mahram setiap masa dan tidak kira di mana-mana.

Nasihat ini bukan khusus untuk wanita sahaja. Buat keluarga pengantin perempuan, tunjukkanlah cara yang terbaik yang menurut tuntutan Islam dalam menganjurkan majlis. Buat si bakal suami, ketahuilah bahawa sejurus lafaz nikah disahkan, tanggungjawab, dosa dan pahala isteri ditanggung suami. Usahlah menjadi suami yang dayus dengan membenarkan isteri mendedahkan auratnya.

Seolah-olah tidak ada makna dan tidak istimewa nikah yang dilafazkan sekiranya mata orang-orang yang bukan mahram berkongsi melihat aurat isterimu.

sumber - http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1362-nikah-tutup-aurat-sanding-buka-aurat.html

I Luv You, Before I Met You


 Ingin menyayangi dan disayangi adalah fitrah setiap manusia. Bohonglah sesiapa yang mengatakan "aku tak perlukan sesiapa dalam hidup... hidup matiku hanya untuk Allah." Rasullah sendiri pernah menegur seorang lelaki yang sanggup berlapar dan enggan berkahwin semata-mata ingin mengabdikan diri kepada Allah.
Kita semua memerlukan seseorang dalam hidup untuk berkasih sayang. Namun, janganlah keterlaluan sehingga menjadikan matlamat berkasih sayang sebagai satu-satunya matlamat dalam hidup. Misi kita dalam hidup ini perlu perlbagai. Sebagai hamba Allah, tentu sekali, matlamat utama adalah untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa. Maka, dalam perjalanan kita menjadi mukmin yang bertakwa, pastikan misi-misi kita yang lain juga seiring dalam mencapai matlamat yang utama. Ini termasuklah misi kita mencari pasangan yang terbaik.

Kebanyakkan wanita yang saya temui, menyayangi 'suami'nya lama sebelum mereka jatuh cinta. The idea of finding & marrying the best menyebabkan mereka mendambakan seseorang yang mempunyai sifat dan sikap yang baik dan terpuji. Kebetulan pula, contoh lelaki yang mereka lihat menepati ciri-ciri tersebut akhirnya benar-benar menjadi suami mereka. Wallahualam, ini perancangan Tuhan. Setiap orang sudah ditetapkan rezekinya (termasuk jodoh) dan Allah Maha mengetahui apa yang didalam hati setiap insan.
Berikut adalah beberapa wanita yang 'menyayangi suaminya' lama sebelum mereka jatuh cinta...

Kisah Kak R
Saya bertemu beliau di satu kursus dan kebetulan menjadi rakan sebilik saya. Entah macam mana terkeluar cerita kahwin. Saya tanya,"bagaimana boleh kenal?"
Menurut Kak R, mereka berdua satu universiti tetapi tidak pernah berbual. Kak R akui, suaminya semasa zaman pelajar adalah antara pemuda yang 'baik-baik'. "Ada satu kali, masa tengah bersembang dengan seorang kawan perempuan, dia (suami) lalu di tepi kami. Akak berbisik kat kawan, andai aku diberikan suami, nak yang macam dia...." beritahu Kak R sambil tersenyum.

Kisah H
H sepupu yang baru balik dari Syria. Saya bertandang ke rumah mereka untuk meraikan majlis walimah beliau dan abangnya. Malam itu, saya menumpang tidur sebilik. Saya bertanya,"bagaimana boleh kenal?"
Menurut H, dia sudah mengenali suaminya sepanjang pengajian di Syria dan kebetulan adalah kawan baik abangnya. Namun, mereka tidak pernah bersembang lebih dari urusan persatuan. Beberapa bulan balik dari Syria, si kawan abang masuk merisik. Akui H, "walaupun kami tidak pernah bersembang, saya kagumi sifat dan sikap beliau. Harapan saya masa kat Syria dulu, semoga saya memperolehi bakal suami sebaik beliau," beritahu H, tersipu.

Kisah A
Saya berjumpa A di satu Konvensyen Islam di Amerika. Usianya masih belasan tahun. Ketika itu, usia saya baru menginjak 22 tahun. Apabila mendapat tahu dia baru seminggu melangsungkan majlis walimahnya, sambil mengenggam tangannya dan gelak gembira, saya berkata,"I'm sooo jealous..."
A balas genggam tangan saya sambil memandang tepat ke mata, "you should not say that to a friend. You should say, I'm happy for you," dia tersenyum sambil menambah,"...and ask Allah to give me the same happiness."

Perancangan dan ketentuan Tuhan amat cantik, malah janjinya dalam surah An-Nur ayat 26 cukup tepat, "Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik."
Namun, tiada siapa dapat meramal siapa jodoh yang telah di tetapkan. Tetapi, the idea of finding & marrying the best, harus disematkan. Allah Maha Mengetahui apa yang dihati setiap manusia. Dan, Dia juga Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Bagi saya, dari dulu (semenjak timbul keinginan untuk berkahwin), saya mendambakan yang terbaik untuk diri, keluarga, agama dan masa depan. Alhamdullilah, dalam perjalanan itu saya ditemukan dengan kawan-kawan yang memberi erti pada istilah terbaik...

Saya mendoakan agar kawan-kawan yang yang sedang mencari rezeki (jodoh) masing-masing supaya jangan putus asa. Allah mendengar isi hati anda. The idea of finding & marrying the best bukanlah sesuatu yang fairytales. Ia telah berlaku kepada beberapa pasangan dan InsyaAllah, ini juga boleh berlaku pada anda.
Saya akhiri dengan satu petikan dialog dari novel The Notebook oleh Nicholas Spark "The best love is the kind that awakens the soul and makes us reach for more, that plants a fire in our hearts and brings peace to our minds. And that's what you've given me. That's what I'd hoped to give you forever."

sumber - http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1327-i-luv-you-before-i-met-you.html

Pedoman Buat Yang Mencari...


30 Mei 2007. 6 bulan yang menggembirakan. Selepas 2 cahaya mata kurniaan Allah, seorang lagi hadir menyejukkan mata.
Menoleh ke belakang, muhasabah zaman sebelum dan selepas berumahtangga, kadang-kadang saya sering menasihati adik-adik supaya memanfaatkan masa bujang semasa belajar.
Luaskan perjalanan dan optimumkan peluang bergiat seaktif-aktifnya dalam kerja-kerja amal.   

Ketika kaki melangkah selaju boleh, sejauh mungkin, manfaatkan segalanya.
Kerana kehidupan berumahtangga, tidak mengizinkan kita untuk membuat keputusan menurut pertimbangan sendiri.
Ada banyak (ramai) faktor yang perlu dipertimbangkan.
Saya tidak menganggap itu sebagai suatu kekurangan, malah ia sangat fitrah sebagai sebahagian daripada proses kehidupan.

Rumah tangga bukan SAYA dan AWAK, tetapi KITA dan KAMI.
Akan tetapi, susunlah kehidupan dengan baik.
Kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang dicita-citakan oleh kita semua. Namun ia seumpama kita membuat Masters dan PhD dalam hidup. Medan tumpuan semakin khusus lagi dibataskan. Maka ruang meneroka harus disesuaikan.
Jangan nanti lupa diri. Jiwa masih adventurous, mahu mencuba ke sana sini. Sedangkan isteri dan anak-anak, bukan perhiasan dinding yang sesuka hati di simpan ke almari.
Imad lahir pada 30 November 2006. Ketika saya dan isteri berada di tengah-tengah pengajian Masters. Kembali menjadi pelajar, juga terus bekerja seperti biasa. Ia bukan suatu kehidupan yang biasa. Segalanya luar biasa.
Cabarannya besar, tetapi kematangan diri membolehkan saya dan isteri bertahan dan maju ke depan.

KEINGINAN BERUMAH TANGGA
Memikirkan gelombang hidup berumahtanggalah, saya tidak gembira apabila ada pelajar yang berkata, "saya perlu segera kahwin kerana bimbang terjebak kepada yang haram!"
Adik-adikku,
Perkahwinan bukanlah untuk menghalalkan apa yang tidak dihalalkan sebelumnya... semata-mata.

Perkahwinan adalah kombinasi cinta, perasaan, keinginan dan tanggungjawab.
Perang melawan keinginan nafsu adalah terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan dugaan-dugaan selepas berumahtangga.
Jika daya tahan dirimu terlalu lemah, hingga menolak zina pun jadi masalah... di mana kekuatanmu untuk membina rumah tangga, memimpin keluarga dan menjadi pembentuk manusia berupa anak-anak?
Saya tidak sama sekali menghalang perkahwinan semasa belajar. Tetapi janganlah perkahwinan itu semata-mata untuk menghalalkan apa yang haram.
Perkahwinan perlu dibina dalam keadaan yang rasional, bersulamkan emosi pengikat diri. Bekal utama hidup berumah tangga, khususnya bagi sang suami, adalah kekuatan mengawal diri.
Atas kekuatan itu Allah amanahkan Talaq di tangan suami!
Langit tidak selalu cerah...
Ada hari, rumah tangga belayar dalam perahu cinta.
Ada harinya pula, rumah tangga bertahan dengan rasa tanggungjawab dan amanah di sisi yang Esa.
Cinta itu naluri, namun kedewasaan mengendalikan cinta, itulah jati diri.
Jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.


- Sumber : saifulislam.com

"AKU NAK KAHWIN, TAPI...."


Ada seorang bertanya, "Kenapa, ramai sangat yang membujang sekarang ni?". Saya menjawap, "Kerana kita sudah tidak reti bercinta...".

Saya harus minta maaf, kerana itu hanya 'jawapan selamat'. Jawapan sebenar tidak semudah itu. Memberitahu jawapan sebenar seolah-olah seperti saya membuka pekung di dada. Dan, pada waktu itu, hanya jawapan "Kerana kita sudah tidak reti bercinta..." mampu diberikan.

Jawapan sebenar, sebenarnya ialah semakin ramai orang bujang melalui proses ambivalen (termasuk saya). Ambivalen disebabkan oleh ketidakupayaan membuat keputusan disebabkan dua perkara dimahukan serentak (caused by inability to make a choice or by a simultaneous desire to say or do two opposite or conflicting things). Maksudnya, yearn (keinginan) and fear (khuatir) berlaku serentak. Paling senang untuk kenal pasti ambivalen ialah apabila keinginan selalu diikuti dengan perkataan "tetapi". Contohnya...

  • "Aku nak bercinta, tapi aku tak handsome..."
  • "Aku nak berkahwin, tapi aku tak de duit..."
  • "Aku nak berkenalan dengan Si Minah, tapi aku mat rempit, dia ustazah..."
  • "Aku nak berkahwin, tapi keluarga aku porak peranda..."
  • "Aku nak suruh orang carikan isteri, tapi nanti apa orang akan kata..."
  • "Aku nak berkahwin, tapi banyak lagi urusan yang belum diselesaikan..."
  • "Aku nak...., tapi....."

Ini yang berlaku kepada kebanyakkan orang bujang. Semua dari kita mahu berumahtangga, mahu mempunyai seseorang yang dipanggil kekasih dan mahu anak-anak yang memeluk erat... tetapi, setiap dari kita mempunyai 'sesuatu' yang menghalang.

'Sesuatu' yang dialami oleh si bujang mungkin kedengaran seperti alasan di telinga orang lain, ...."Aku nak berkahwin, tapi keluarga aku porak peranda...", namun kepada si bujang, ia 'sesuatu' yang amat besar. Bagi si bujang, dia mungkin tidak mahu keluarga bakal  isteri/suaminya itu membuat penilaian buruk terhadap keluarganya. Atau, dia tidak mahu, perkara yang sama berlaku pada perkahwinannya nanti. Semua ini adalah pertimbangan-pertimbangan yang bermain di minda dan benak si bujang.

Sama juga seperti ayat  "Aku nak berkahwin, tapi banyak lagi urusan yang belum diselesaikan...". Mungkin ada orang akan mempertikaikan, "...nak tunggu urusan selesai, sampai bilapun tak kahwin!". Namun, kepada si bujang yang mengalaminya, 'urusan yang perlu diselesaikan' itu juga sama berat dengan urusan kahwin.

Jadi, bagaimana untuk orang bujang hilangkan perasaan ambivalen?
 
Berdoalah kepada Tuhan. Tidak ada cara lain.

Berdoalah semoga Tuhan bukakan pintu hati disebalik 'sesuatu'. Hanya Tuhan yang maha mengetahui kemampuan kita menangani 'sesuatu' itu. Luahkan kepada Tuhan, "Aku nak kahwin. Aku tahu, aku mat rempit dan dia ustazah. Berikanlah aku kekuatan...". Andai itu jodoh kita, nanti Tuhan akan tunjukkan jalan. Bila, di mana dan bagaimana jalan itu akan dibuka untuk kita, hanya Tuhan yang tahu. Lambat atau cepat satu perkahwinan di tangan Tuhan.

Doa saya semoga saya dan kawan-kawan sekalian mendapat jodoh yang terbaik untuk diri masing-masing. Insya Allah, percayalah pada janji Tuhan.

sumber - http://bujangok4u.blogspot.com/2010/12/aku-nak-kahwin-tapi.html?spref=fb

Saturday, December 25, 2010

Tips Cinta Untuk Kebahagiaan


Cinta menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.
Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah swt.

"Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah swt." (Hadis Riwayat Ahmad)

Marhalah Amal Islami (Lihat Nazarat fi Risalatul Taalim oleh Muhammad Abdullah Khatib m/s 229)
  1. Pembentukan peribadi muslim
  2. Pembinaan rumahtangga muslim
  3. Membimbing masyarakat menuju Ilahi
  4. Membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan kuasa kuffar
  5. Memulihkan kerajaan dari sampukan thoghut
  6. Penguasaan alam
(Seringkali isu kegagalan rumahtangga di perkatakan sehingga ia memberi kesan buruk kepada pasangan yang akan berkahwin . Dapat disaksikan di negara - negara barat apabila muda mudi mulai bosan dengan perkahwinan lantas mengamalkan free sex .)
Rumahtangga yang berjaya ialah yang memiliki suasana asas sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat ke-21 :
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu  tanda-tanda bagi kaum yang berfikir ."
Pendakian ke puncak amal Islami iaitu Ustaziatul Alam(Penguasaan Alam) mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah. Bait muslim (rumahtangga Islam) sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar didaki dengan penuh jaya dan gemilang. Ketabahan , kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya .

Rumahtangga pejuang Islam
Aktivis gerakan Islam (samaada pihak suami atau isteri) sewajarnya memandang serius urusan mengenderai rumahtangga muslim agar ia tidak menjadi sebab gugurnya seorang aktivis. Penegasan ini dibuat memandangkan keaktifan pejuang memungkinkan rumahtangga terabai, sedang rumahtangga muslim adalah markaz terbaik untuk pengkaderan generasi akan datang yang bernaung di bawah lembayung Al-Quran dan jihad.
Kedua dua pihak (pasangan suami isteri) mesti memahami penglibatan aktifnya dalam gerakan Islam tanpa ia sendiri turut memahami bahawa rumahtangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam; mencetuskan ketegangan atau kehambaran dalam hidup berumahtangga.
Kebijaksanaan menyusun program menurut prioriti mampu menyelamatkan keadaan. Suatu nokhtah penting yang memerlukan sebuah keinsafan bersama, bahawa rumahtangga yang gagal dan hambar adalah antara jalan rentas menuju ke garis penamat bagi episod perjuangan seorang aktivis .

Tips cinta untuk suami
  • Bersikap baik dan lembut dengan isteri
  • Menjaga kehormatan rumahtangga dan tidak terburu menerima fitnah
  • Jangan sekali - kali memukul isteri dan penuhi keinginannya dengan baik
  • Bersabar terhadap karenah isteri
  • Mengendali nafkah dengan ( tidak bakhil dan boros )
  • Bergurau senda dengan anak dan isteri ( berkasih sayang dan mesra )
  • Membantu tugas - tugas isteri dirumah
  • Jujur dan menepati janji dengan anak dan isteri
  • Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga
  • Tidak bermesra dengan wanita lain
  • Menjaga rahsia isteri
  • Tidak merendah - rendahkan isteri di hadapan orang lain
  • Tidak makan hasil kerja isteri
Tips cinta untuk isteri
  • Berterima kasih diatas pemberian suami dan senantiasa mengenang jasanya walaupun kecil .
  • Segera memenuhi permintaan suami
  • Bertindak diatas keizinan suami , jangan sekali kali mengangkat suara
  • Pastikan suami tidak menemui sesuatu yang buruk pada isteri
  • Pastikan suami tidak mencium melainkan bau yang wangi
  • Jaga hartanya dengan sebaik - baik tadbir
  • Jaga maruahnya dengan sebaik - baik taqdir
  • Jangan mengingkari suami dan merahsiakan sesuatu daripadanya
  • Membantu urusan perjuangannya
  • Berkhidmat ikhlas dan aktif untuk ketenangan suami
  • Berlembut apabila dimarahi dan senyum apabila digembirakan
  • Mengekalkan sifat malu terhadap suami dan bijak menutur kata dihadapannya
  • Menghormati keluarga suami
  • Menjaga rahsia suami
Tips cinta untuk kedua suami isteri
  • Persefahaman
  • Taawun ( bekerjasama )
  • Wujudkan suasana romantis
  • Atasi bebanan kerja
  • Kepuasan seks
  • Elakkan sikap suka mengkritik pasangan
  • Saling percaya mempercayai diantara satu sama lain
  • Menghayati amal Islami
  • Kebijaksanaan mentadbir dan menyelesaikan masaalah rumahtangga
sumber - http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1373-tips-cinta-untuk-kebahagiaan.html

chatro0m...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com